
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Vida atau nama sebenar usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman, gagal mengetepikan penghakiman ingkar bernilai RM15.5 juta yang diperoleh Maybank Islamic berhubung pinjaman tertunggak.
Permohonan Vida dan syarikatnya, Vida Beauty Sdn Bhd, ditolak Hakim Mahkamah Tinggi, Norsharidah Awang, atas alasan pemohon gagal menunjukkan sebarang pembelaan bona fide dan penghakiman itu diperoleh secara teratur.
Penghakiman ingkar direkodkan apabila defendan gagal hadir atau memberikan respons dalam tempoh ditetapkan, sekaligus membolehkan plaintif memperoleh penghakiman tanpa perbicaraan penuh.
Pertikaian itu berpunca daripada dua kemudahan Commodity Murabahah Term Financing-i (CMTF-i) berjumlah RM8.946 juta yang diberikan kepada Vida Beauty pada Oktober 2017 dengan tempoh bayaran balik selama 15 tahun. Vida turut menandatangani jaminan peribadi bagi kedua-dua kemudahan berkenaan.