
Industri vape menyumbang sekitar RM100 juta dalam bentuk cukai dan duti eksais tetapi ia tidak bermakna kerana kos rawatan penyakit berkaitannya mencecah RM5 bilion, kata Pakar Perubatan Awam, IMU University, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid.
Beliau menyifatkan industri vape sebagai najis dan tidak wajar dipertahankan atas alasan hak individu atau sumbangan cukai.
Beliau turut menegaskan bahawa hak individu tidak boleh mengatasi hak komuniti untuk hidup sihat, serta mengkritik tindakan industri yang didakwa membiayai kajian tidak beretika bagi menyokong penggunaan vape.
Perdebatan hangat berlaku di antara beliau dan Pengarah Nanostix, Shahabudeen Jalil yang mempertahankan industri vape atas dasar realiti teknologi dan hak asasi, serta menolak cadangan pengharaman penuh sebagai tidak logik dan menindas usahawan.
Sewaktu bersiaran dalam Dialog Tiga Penjuru – Malaysia ke arah pengharaman penuh ‘vape’, beliau menyifatkan industri itu sebagai ‘najis’, dan sewajarnya pemain industri berkenaan beralih kepada perniagaan lain yang ‘halal’.