
CHENNAI: Seramai 12 pelancong Malaysia cedera dalam nahas pada Ahad apabila van yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung berhampiran Vellaiparai di Kodaikanal selepas pemandunya hilang kawalan ketika melalui jalan berbukit.
Kenderaan yang membawa kumpulan pelancong berkenaan dari kuil Palani itu terhumban hampir 30.4 meter sebelum tersangkut pada sebatang pokok.
Menurut laporan akhbar Daily Thanthi, kumpulan pelancong terbabit diketuai seorang lelaki bernama Bhaskaran dan tiba di Tamil Nadu beberapa hari lalu untuk melawat beberapa destinasi pelancongan serta keagamaan.
Pada pagi Ahad, mereka mengunjungi kuil Palani Murugan sebelum meneruskan perjalanan ke Kodaikanal.
Van pelancong itu dipandu seorang lelaki bernama Vigneshwaran dari Chennai, bergerak dari Palani menuju ke Kodaikanal.
Kira-kira jam 4 petang, ketika melalui kawasan berbukit berhampiran Vellaiparai di laluan Peruthupparai, pemandu dilaporkan hilang kawalan.
Van itu terbabas lalu merempuh penghadang besi dan terjunam hampir 30.4 meter ke dalam gaung.
Dalam pada itu, saksi berkata penumpang menjerit meminta tolong ketika van terjunam ke bawah sebelum merempuh sebatang pokok, yang menahan kenderaan itu daripada terus jatuh lebih jauh.
Semua 12 pelancong Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan serius dan dibawa n ke Hospital Kerajaan Kodaikanal untuk rawatan