UTM Juara Shell Selamat Sampai Varsity Challenge 2025

Foto The Star

KUALA LUMPUR: Projek Carbuddy aplikasi yang dibangunkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bejaya membantu university itu menjuarai ShellSelamatSampai Varsity Challenge 2025, sebuah program keselamatan jalan raya anjuran Shell untuk pelajar institusi pengajian tinggi.

Cabaran bertemakan ‘Innovate! Captivate ! Save Lives’ itu terbuka kepada semua pelajar universiti dan kolej di Malaysia, dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Penganjuran program terbabit bermatlamat menggalak belia untuk mengaplikasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai penyelesaian inovatif dalam mengurangkan isu keselamatan jalan raya.

Dianggotai Samin Sarwat, Tanhim Jashim, Huzaifa Saoman dan Tanveer Ahmad, UTM membangunkan projek ‘CarBuddy’, yang diperkasa teknologi kecerdasan buatan (AI) berfungsi menangani risiko maut tersembunyi di jalan raya berpunca gejala ‘microsleep’ atau lelap.

Menggunakan telefon pintar atau kamera dalam kereta, aplikasi berkenaan berupaya mengesan pergerakan mata dan isyarat wajah pemandu untuk mengesan tanda mengantuk lebih awal, lantas memberikan amaran sebelum berlaku lelap.

Selain mampu dimiliki dan boleh diakses semua pemandu, ‘CarBuddy’ berpotensi mengurangkan kemalangan sehingga separuh, menyelamatkan 500 nyawa dan RM4.1 bilion setiap tahun.