UTeM Terima Anugerah TVET Terbaik Universiti Awam 2025

Foto Utusan Malaysia

AYER KEROH: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Durian Tunggal di sini, terus mengekalkan kecemerlangannya apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah Universiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Terbaik Malaysia 2025 bagi kategori universiti awam.

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud kepada Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin pada majlis Malaysia Education & TVET Awards (META) 2025 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program anjuran Education+TVET Asia Publications itu mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan cemerlang dalam bidang pendidikan serta TVET di seluruh Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Dr Massila berkata anugerah itu adalah simbolik keunggulan UTeM sebagai Universiti Awam TVET Terbaik di negara ini selepas menerimanya buat kali kedua berturut-turut sejak tahun lalu.

Beliau berkata kecemerlangan berimpak tinggi ini menjadi satu pengiktirafan yang amat bermakna buat UTeM dengan mesej jelas terhadap segenap usaha dan komitmen universiti itu dalam pemerkasaan TVET.

Katanya, ia juga jelas membuktikan UTeM dan TVET ibarat isi dan kulit kerana pembangunan Teras Strategik Utama UTeM menerusi Pelan Strategik UTeM 2023-2025 adalah berfokus kepada TVET Meluncur Kerjaya seiringan hasrat negara melalui Majlis TVET Negara.