UTAMAKAN KEPENTINGAN RAKYAT: TUANKU MUHRIZ

Sumber Gambar : NST

KUALA PILAH: Sentiasa utamakan kepentingan negeri dan rakyat mengatasi kepentingan politik mahupun peribadi, pesan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Munawir.

Baginda bertitah amanah yang dipikul oleh setiap wakil rakyat adalah amat besar kerana mereka bertanggungjawab membawa suara, aspirasi, keperluan serta permasalahan rakyat ke Dewan Undangan Negeri.

Tuanku Muhriz bertitah setiap dasar, perancangan dan keputusan yang dibuat hendaklah mencerminkan kepentingan serta sentiasa berpaksikan kebajikan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan.

“Kesetiaan dan komitmen kamu hendaklah sentiasa diutamakan kepada negeri dan rakyat yang diwakili, mengatasi sebarang kepentingan politik dan kepentingan peribadi,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini semalam.