
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.
Baginda bertitah, tiada halangan jika kawasan Kampong Bharu, juga dikenali sebagai Kampung Baru hendak dibangunkan seiring peredaran zaman, namun syaratnya harus jelas serta berpihak kepada orang Melayu.
“Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampong Bharu harus diambil kira,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan, kawasan itu telah ditubuhkan pada 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian, hasil kurniaan nenda baginda iaitu Sultan Selangor Kelima Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Jan 1900 sebagai rizab Petempatan Pertanian Melayu (MAS).
“Beta ingin mengimbas semula susur galur sejarah dan peristiwa penting orang Melayu yang telah berlaku di Kampong Bharu dan harus dipelihara,” titah baginda.
Baginda turut mengimbas pengalaman peribadi apabila pernah menetap dan belajar di Sekolah Kebangsaan Raja Muda di Kampung Baru ketika Almarhum paduka ayahanda Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Raja Muda Selangor.
“Sebagai nadi pembangunan Kuala Lumpur pada suatu ketika, Kampong Bharu menempatkan Kelab Sultan Sulaiman, lokasi berlangsungnya Kongres Melayu SeMalaya pada 1946 yang mencetuskan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).
“Semasa tragedi 13 Mei 1969, Kelab Sultan Sulaiman juga dijadikan tempat perlindungan orang Melayu. Padang Kelab Sultan Sulaiman turut digunakan sebagai tempat latihan pasukan bola sepak Selangor sebelum terbinanya Stadium Merdeka,” titah baginda sambil menambah bangunan warisan kelab itu masih menjadi hak milik kerajaan negeri Selangor.