
KUALA LUMPUR: Usul pembangkang merujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, kata Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata usul terbabit ditolak memandangkan kenyataan Anwar berkait tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Pulau Batu Puteh adalah antara syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Padahal, RCI tidak pernah menyatakan Mahathir bersalah,” katanya ditemui media di pintu utama bangunan Parlimen.
Pada 24 Julai lalu, pembangkang mengemukakan usul meminta Anwar dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu RCI Batu Puteh.
Usul itu susulan kenyataan Anwar yang Kabinet memutuskan tiada tindakan undang-undang diambil terhadap Mahathir berhubung peranannya dalam isu Batu Puteh disebabkan faktor usia.
Siasatan terhadap Dr Mahathir tahun lalu mendapati berlaku kemungkinan bekas perdana menteri itu bertindak secara sengaja mempengaruhi Jemaah Menteri memberhentikan permohonan semakan berhubung kedaulatan Batu Puteh pada 2018.