Usah timbulkan ketegangan, perpecahan ketika berkempen

Foto FB Fadillah Yusof

KUCHING: Mereka yang berkempen menjelang Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 haruslah bersikap profesional dan herhemah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam pesanannya, beliau yang juga Menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal Sabah dan Sarawak berkata, tempoh kempen seharusnya menjadi medan untuk menyampaikan dasar serta perancangan masing-masing kepada rakyat, bukannya mencetuskan ketegangan atau perbalahan dalam kalangan masyarakat.

“Saya mengharapkan semua parti yang bertanding berkempen secara berhemah atas dasar semangat demokrasi dan elakkan perkara yang boleh membangkitkan ketegangan serta menyebabkan perpecahan,” katanya.

Fadillah berkata, keharmonian masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama perlu sentiasa dipelihara, selaras dengan semangat perpaduan yang menjadi asas kestabilan negara.