Usah Tertipu Dengan Laba Besar TNB

Foto TNB

Jika Tenaga Nasional Berhad (TNB) untung RM1.58 bilion kenapa nak naikkan tarif elektrik? Bukankah tidak adil mengalihkan beban itu kepada rakyat? Inilah desas-desus yang kerap didendangkan oleh pengguna apabila kerajaan dijangka mengumumkan pelarasan tarif elektrik pada Julai tahun ini. Adakah ini benar?

Itu kurang tepat dan salah faham itu perlu diperbetulkan, kata Pensyarah Kanan Ekonomi dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia, Dr Nur Azam Anuarul Perai dalam temubual dalam rancangan Ngopi@Channel10 baru-baru ini.

Beliau yang hadir bersama Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzaniam Abdul Rashid, berkata rakyat tidak arus tertipu dengan jumlah keuntungan TNB yang besar.

“Dalam perakaunan, tidak semua RM1.58 bilion itu dinikmati TNB sebab jika ikut perakaunan aliran tunai dan keuntungan adalah dua perkara berbeza.

“Nyawa dan nadi syarikat ialah cash flow, Jadi kita jangan tertipu dengan jumlah untung besar. Industri tenaga in memerlukan kos infrastruktur yang tinggi dan tanpa dana tambahan melalui kenaikan tarif, infrastruktur tidak dapat ditingkatkan,” katanya.

Menurutnya, infrastruktur yang tidak dapat ditingkatkan bermakna kualiti akan menurun dan jika kualiti terjejas, yang terkesan adalah pengguna

“Jadi bagi saya, kenaikan tarif itu memang tidak boleh diekakkan jika kita mahu khidmat yang memuaskan,” katanya.

Dr Mohd Afzanizam pula berpendapat sebarang kenaikan tarif itu bersebab dan manfaatnya akan balik kepada rakyat. Umum tahu kos infrstruktur industri ini tinggi dan ini harus difahami.

“Bagi saya komunikasi dalam hal ini penting. Penerangan kepada pengguna sangat kritikal kerana jika penjelasan diberikan kepada pengguna menerusi komunikasi yang ditingkatkan, masalah boleh selesai. Kalau rakyat faham, mereka akan terima,” katanya.

Rakyat mesti dididik bahawa kenaikan tarif itu ada manfaatnya yang dipulangkan kepada mereka. Cuma pastikan pelaksanaannya…tak ada ketirisan, pembaziran dan sebagainya, kata kedua-duanya.