Usah hukum Azam Baki berdasar sentimen, dorongan politik

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Tan Sri Azam Baki mesti disiasat berlandaskan undang-undang, bukannya digerakkan oleh sentimen atau persepsi semata-mata, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan, proses itu perlu dilakukan sebelum sebarang tindakan dibuat terutama membabitkan penjawat awam yang sudah ama berkhidmat dan berkorban tenaga dalam melaksanakan amanah negara.

Beliau berkata, adalah tidak adil untuk menjatuhkan hukuman sebelum siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.

Anwar mengingatkan masyarakat supaya tidak terburu-buru menghukum mana-mana individu atau institusi sebelum proses siasatan lengkap dilaksanakan mengikut lunas perundangan.

“Jangan beri gambaran seolah-olah semuanya buruk. Ini yang saya nak tekankan dan cara kita selesai ini, bagi saya ini undang-undang.

“Kalau ada aduan-aduan yang benar, bawa ke mahkamah, proses ini sama seperti mana yang kita bicarakan sekarang dalam kes SPRM.

“Bagi saya, saya tidak fikir saudara-saudara yang bekerja ini, yang berhempas pulas, terus dihukum sebelum siasat.

“Saya tidak pilih jalan itu. Siasat, kalau perlu tindakan, kita ambil tindakan. Kalau perlu hukuman, ikut hukum,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan program Ihya Ramadan, hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Timbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, sebarang tindakan tidak boleh dipengaruhi rasa tidak senang, tekanan politik atau kepentingan kelompok tertentu.

“Jangan kita hukum kerana kebetulan orang itu kita tidak senangi, atau kerana ada dorongan politik, atau kita bertindak kerana orang itu pernah mengambil tindakan kepada kelompok yang kita kaitkan. Kita harus teliti,” tegas beliau.