Usah ganggu siasatan PDRM kes jenayah besar: PM

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada golongan berpengaruh diberi amaran supaya tidak campur tangan dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika melaksanakan sebarang tindakan undang-undang, terutama membabitkan kes berprofil tinggi dan jenayah berskala besar.

Perdana Menteri, berkata tindakan itu akan menjejaskan siasatan, lantas menyulitkan pihak berkuasa menjalankan tugas.

Beliau turut mengakui ada kecenderungan pihak tertentu melindungi individu atau kumpulan berpengaruh daripada disiasat pihak berkuasa.

“Jangan ada campur tangan menghalang tindakan PDRM dan agensi penguatkuasaan. Kadang-kadang (pihak) yang melindungi itu orang berpengaruh dan ini menyukarkan kerja PDRM.

“Saya beri arahan sangat jelas. Jika benar mahu bertindak, kita juga perlu beri nasihat kepada semua yang lain supaya jangan sesekali menghalang (tugas pihak berkuasa),” katanya ketika merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini.