Usah Abai Nilai Kemanusiaan Demi Teknologi: PM

Usaha mengejar teknologi dalam melaksanakan transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya mengabaikan aspek tatakelola, tadbir urus, integriti dan nilai kemanusiaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengambil iktibar permasalahan yang timbul ketika era penswastaan dahulu, Perdana Menteri berkata, penerapan teknologi baru seharusnya berpaksikan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keberhasilan menyeluruh kepada rakyat.

“Laporan badan antarabangsa termasuk United Nations University jelas menunjukkan wujudnya fenomena AI Productivity Paradox, iaitu pelaburan besar terhadap teknologi digital dan AI tetapi tidak membawa kepada peningkatan ketara produktiviti.

“Kita tidak mahu mengulangi kesilapan masa lalu ketika projek penswastaan, konon untuk lebih cekap dan menjimatkan tetapi akhirnya terpaksa diselamatkan kerajaan dengan kos tinggi kerana tadbir urus yang lemah,” katanya.