
TANJUNG MALIM: Dalam usaha memperkukuh kerjasama akademik, penyelidikan dan pembangunan antarabangsa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Al-Iraqia University.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pemeteraian MoU itu khususnya membabitkan Fakulti Sains dan Matematik (FSM) dan selari dengan Pelan Strategik UPSI serta aspirasi BITARA universiti dalam memperluas penglibatan global yang memberi impak langsung kepada komuniti akademik.
“Kerjasama ini dirangka dengan teliti bagi menyokong petunjuk prestasi utama (KPI) UPSI dalam aspek pengantarabangsaan, penghasilan penyelidikan, mobiliti staf dan pembangunan pascasiswazah,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama itu membuka peluang pelaksanaan penyelidikan bersama, penerbitan bersama dalam jurnal berindeks seperti Scopus, permohonan geran penyelidikan padanan serta penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Beliau turut memaklumkan bahawa MoU itu turut menyediakan peluang mobiliti berstruktur kepada staf akademik UPSI melalui penyertaan dalam program Profesor Pelawat dan Sarjana Pelawat, yang memberi pendedahan antarabangsa, pengukuhan jaringan penyelidikan serta pengalaman pengajaran di peringkat global.