UPSI bantu pulih ekosistem, biodiversiti sungai

Foto Fb Tok Tuah Channel Haziq

KAJANG: Program RiverHeart: “From Polluted to Pristine” Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR), bertujuan memulihkan ekosistem dan biodiversiti sungai.

Melalui pendekatan intervensi berasaskan komuniti selaras dengan tuntutan elemen Pelan Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia, program itu dijalankan di Denai Sungai Kebangsaan @ Sungai Langat.

Pengarah program, Syahriz Haiqal Syaiful Rizal, berkata aktiviti itu bertujuan memulihkan ekosistem dan biodiversiti sungai melalui pendekatan intervensi berasaskan komuniti selaras dengan tuntutan elemen Pelan Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia.

“Program ini turut membabitkan penyertaan dari universiti awam (UA) lain antaranya Kelab Hijau Putra, Universiti Putra Malaysia dan One Health Students Club, Universiti Sains Islam Malaysia, selain dibantu Skuad Pemburu Ikan Asing.

“Ia juga inisiatif meningkatkan kesedaran dan membentuk nilai tanggungjawab generasi muda terhadap kepentingan pemeliharaan sungai demi kelestarian alam sekitar,” katanya.