UPSI Anjur Syarahan Utama Perkukuh Kelestarian Warisan Adat Iban

Pengucap Utama, Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu anak Numpang (tengah) bergambar bersama Datuk Sri John Sikie (empat dari kanan) dan barisan pengurusan tertinggi UPSI sempena Majlis Syarahan Utama Jaku Tangkai Mengandai di Auditorium Borneo Cultures Museum. Foto UPSI

KUCHING, 25 September 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menganjurkan Majlis Syarahan Utama Jaku Tangkai Mengandai di Auditorium Borneo Cultures Museum, sebagai usaha memperkukuh pemeliharaan warisan bahasa dan budaya etnik Sarawak, khususnya masyarakat Iban.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sri John Sikie Anak Tayai yang menegaskan kepentingan bahasa dan budaya sebagai nadi pembentukan bangsa.

“Tanpa bahasa, tiadalah identiti; tanpa budaya, tiadalah akar,” katanya sambil berharap program itu mampu menyalakan semangat baharu dalam memperjuangkan kelestarian warisan.

Ikon adat Iban, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Anak Numpang, yang menyampaikan syarahan utama, mengupas falsafah hidup, kebijaksanaan serta nilai moral dalam warisan intelektual masyarakat Iban.

Beliau turut menyeru pemimpin, sarjana dan masyarakat agar berganding bahu memastikan khazanah budaya itu terus hidup dan diwarisi.

Datuk Sri John Sikie ketika berucap merasmikan Majlis Syarahan Utama Jaku Tangkai Mengandai di Auditorium Borneo Cultures Museum. Foto UPSI

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr Suriani Abu Bakar, berkata penganjuran program berkenaan sejajar dengan komitmen universiti memartabatkan bahasa etnik di Malaysia.

“Setiap warisan adalah cerminan tamadun bangsa, dan identiti bangsa akan terjaga serta terpelihara kerana adanya bahasa dan budaya,” katanya.

Beliau berkata UPSI sentiasa menekankan kepelbagaian bahasa dan budaya dalam konteks pendidikan tinggi, sejajar dengan aspirasi negara untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, malah mempunyai kesedaran budaya yang tinggi.

Majlis Syarahan Utama Jaku Tangkai Mengandai di Auditorium Borneo Cultures Museum turut disertai oleh pelajar universiti, ahli akademik, penggiat budaya serta wakil masyarakat tempatan.

Program itu juga disertai oleh lebih 100 peserta terdiri daripada pelajar universiti, ahli akademik, penggiat budaya serta wakil masyarakat tempatan.

Antara pengisian termasuk persembahan kesenian tradisional Iban, pameran artifak budaya serta sesi wacana bersama tokoh ilmuwan bahasa dan warisan.

Menurut penganjur, syarahan utama ini merupakan sebahagian daripada siri program kolaboratif UPSI dengan kerajaan negeri Sarawak dalam usaha mendokumentasi, memulihara dan mempopularkan bahasa etnik di peringkat nasional.

Majlis itu turut menandakan komitmen kolektif untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah celik adat dan budaya, selaras dengan usaha memperkukuh kelestarian warisan negara.

Tan Sri (Dr) Alfred Jabu semasa menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Bahasa Iban dan Masyarakat’ sempena Majlis Syarahan Utama Jaku Tangkai Mengandai di Auditorium Borneo Cultures Museum.