
KUALA LUMPUR: Universiti Malaya memulakan pendaftaran 6,376 pelajar baru bagi program Sarjana Muda bagi sesi akademik 2025/2026 semalam.
Mengalu-alukan pelajar baru itu Naib Canselor Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata hari pendaftaran itu, merupakan detik bersejarah dan membanggakan bukan sahaja kepada mahasiswa, malah juga keluarga yang menjadi pendorong utama sepanjang perjalanan mereka.
“Hari ini bukan sekadar hari anda melangkah masuk ke alam pengajian tinggi, tetapi juga permulaan kepada harapan, pengalaman dan peluang baru.
“Di Universiti Malaya, mahasiswa bukan sahaja akan menimba ilmu, malah akan menemui rakan baru serta membina kenangan yang kekal sepanjang hayat,” katanya.
Dr Noor Azuan turut mengingatkan mahasiswa agar berani mencabar diri, menyertai pelbagai aktiviti dan menghargai pengalaman sepanjang pengajian di UM.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang meninjau suasana pendaftaran, pula berpesan kepada mahasiswa baru agar memberi tumpuan penuh kepada pengajian dan berusaha mencapai kecemerlangan.
“Tahniah kepada semua mahasiswa yang kini menjadi sebahagian daripada sebuah institusi penting negara. Semoga anda semua menjadi insan hebat, berilmu dan berbakti kepada masyarakat serta negara,” katanya.