
CYBERJAYA: Universiti Cyberjaya (UoC) terus memperkukuh komitmennya dalam melahirkan jururawat profesional berkualiti tinggi melalui tawaran biasiswa penuh kepada pelajar Malaysia yang layak dalam program Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Kejururawatan.
UoC dalam kenyataan medianya berkata, biasiswa itu merangkumi yuran pengajian sepenuhnya, penginapan, elaun pakaian seragam, serta elaun sara diri bulanan sehingga RM1,000.
Lebih menarik, pelajar yang menamatkan pengajian turut dijamin penempatan kerja di hospital-hospital rakan strategik UoC.
“Langkah ini sebagai usaha menyeluruh dalam memperluas akses pendidikan tinggi dalam bidang kejururawatan, khususnya kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi.
“Ia juga selaras dengan keperluan negara terhadap tenaga kerja mahir dalam sektor kesihatan yang semakin mencabar,” katanya.
Dalam masa sama, Fakulti Kejururawatan UoC juga turut giat menjalankan pelbagai program komuniti yang menyokong pendekatan pembelajaran holistik dan berasaskan nilai.
Antara program terbaharu ialah “Ribbon Rave: A Wave of Hope”, sebuah inisiatif kesedaran kanser yang merangkumi saringan kesihatan percuma, pendidikan interaktif menggunakan teknologi Realiti Maya (VR) dan Realiti Terimbuh (AR), serta kerjasama dengan pelbagai organisasi seperti ROSE Foundation, MAKNA, CORUM dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA).