
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu undang-undang antarabangsa diguna pakai secara konsisten terhadap semua negara untuk mengekalkan kredibilitinya.
Menurut Perdana Menteri, penguatkuasaan secara terpilih akan menghakis keyakinan terhadap sistem global.
“Sekiranya undang-undang antarabangsa mahu mengekalkan kredibiliti, ia perlu terpakai sama rata terhadap semua. Prinsip akan hilang kewibawaannya jika hanya dikuatkuasakan secara terpilih.
“Sikap tidak konsisten akan menjejaskan keyakinan terhadap asas sistem antarabangsa,” kata beliau berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI bertajuk Strategies for Malaysia and Asean in an Era of Global Instability, di sini hari ini.
Hadir di majls itu ialah Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Prof Dr Jeffrey D. Sachs.
Anwar turut mengecam serangan ke atas Iran yang disifatkan beliau sebagai tindakan agresif yang didorong oleh Israel di Asia Barat dengan sokongan Amerika Syarikat.
“Kita bertemu hari ini di tengah-tengah perang yang dilancarkan terhadap sebuah negara berdaulat, Iran dan rakyatnya,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata, konflik yang sedang berlaku telah menyebabkan pembunuhan terancang ke atas pemimpin politik, ketenteraan dan keagamaan selain serangan yang mengakibatkan kematian orang awam serta kemusnahan infrastruktur.