
SANDAKAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan undangan kepada Presiden Amerika Donald Trump untuk hadiri Sidang Puncak Asean ke-47 di ibu negara bulan depan adalah langkah pragmatik, sekaligus menempelak pihak yang mempertikaikan jemputan itu.
Beliau berkata, Malaysia perlu bijak berunding dan mengekalkan suara yang tegas dalam mempertahankan kebenaran, namun dengan cara berstrategi.
Perdana Menteri berkata, walaupun bukan negara besar, Malaysia tetap dihormati dunia kerana pendirian yang konsisten dalam mempertahankan keadilan serta kebebasan bersuara di pentas antarabangsa.
“Malaysia lantang mempertahankan Palestin, tetapi pada masa sama kita gunakan saluran diplomatik. Kita bebas bersuara kerana kita negara merdeka dan bermaruah. Kita juga mesti pandai berkawan.
“Sebab itu kita kena pandai berunding. Suara kita tetap menyatakan yang benar dan hak tetapi dengan cara bijaksana,” katanya.
Menurutnya, sikap segelintir pihak yang menolak hubungan dengan Amerika Syarikat dan menyifatkan mereka tidak mengambil kira kepentingan ekonomi dan negara, khususnya dalam sektor eksport produk berteknologi tinggi.
“Nilai eksport semikonduktor Malaysia ke Amerika Syarikat sahaja berbilion ringgit. Puluhan ribu rakyat bekerja dalam sektor itu. Kalau kita tolak bulat-bulat, yang rugi rakyat,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Malaysia sebuah negara kecil, kemampuan pentadbiran selain dasar luar dan corak diplomasi yang jelas dan terbuka telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang sentiasa dihormati dunia.
“Beberapa bulan lepas Presiden Xi Jinping datang, bulan depan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pula datang. Mana ada banyak negara kecil dapat layanan begitu. Ini bukti dunia hormat Malaysia.
“Ketika ada konflik di sempadan Thailand-Kemboja, mereka minta Malaysia jadi orang tengah. Begitu juga Timor-Leste, dulu sebahagian daripada Indonesia, kini merdeka dan insya-Allah Oktober ini akan menjadi anggota Asean ke-11,” katanya.
Anwar berkata Sidang Kemuncak Asean ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Oktober ini bakal menghimpunkan pemimpin dunia termasuk dari Amerika Syarikat, China, India, Australia, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Korea serta negara anggota Asean.