
KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kekal universiti teknikal terbaik negara.
UMPSA berada di tangga teratas iaitu kedudukan pertama terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) empat tahun berturut-turut.
Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, berkata kejayaan itu mengukuhkan lagi kedudukan UMPSA sebaris dengan universiti bertaraf dunia serta menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang berkualiti serta berimpak di peringkat antarabangsa.
Katanya, peningkatan UMPSA dalam indikator pengajaran turut mencerminkan kualiti akademik universiti ini diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Pengumuman Times Higher Education (THE) World University Rankings 2026 semalam, turut menyenaraikan UMPSA di tangga 601-800 terbaik di dunia dan berada di kedudukan kesembilan terbaik di Malaysia dalam kalangan institusi awam dan swasta di negara ini.
UMPSA adalah sebuah universiti awam ke-16 yang ditubuhkan kerajaan dalam menawarkan program pendidikan tinggi berteraskan kejuruteraan dan teknologi serta penyedia program TVET termaju (aras tinggi) negara.