
KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sudah melatih lebih 1,000 pelajar, staf universiti dan profesional industri untuk menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI).
Langkah itu, menurut Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Arham Abdullah, adalah agar universiti itu bergerak seiring mengintegrasikan AI sebagai pemangkin utama ia terus kekal relevan, dinamik dan kompetitif dalam dunia berteraskan teknologi.
Beliau berkata, sebagai sokongan dalam pelaksanaan teknologi AI, UMK telah melancarkan empat inisiatif strategik dalam memperkukuh ekosistem dan transformasi digital akademik universiti.
“Inisiatif berkenaan membabitkan Academic Analytics Dashboard TNCAA merupakan platform pintar berasaskan data yang mengintegrasikan maklumat akademik UMK secara menyeluruh termasuk staf akademik, pentadbiran serta pelajar.
“Inisiatif lain termasuk pengenalan platform Micro Credential 2.0 membabitkan pakej pembelajaran berasaskan bidang profesional, selain Modul Penasihat Akademik serta Modul Penyeliaan Pascasiswazah bagi memperkukuh kompetensi penyelia,” katanya.
Arham berkata, melalui kesepaduan antara kebijaksanaan insan dan kepintaran mesin, UMK sedang meneroka horizon baru pendidikan yang lebih inklusif, inovatif dan berdaya saing.