
KUANTAN: Seorang penghuni rumah di Kampung Kempadang, Kuantan, Pahang itu berdepan detik cemas apabila seekor ular sawa lebih 80-kilogram tiba-tiba jatuh dari siling bilik kediamannya
Mazlan Zakaria, 67 tahun berkata kejadian itu berlaku ketika dia berada di ruang tamu sebelum terdengar bunyi kuat seperti runtuhan dari bilik anak perempuannya.
Pada mulanya, dia menyangka siling rumah mereka sekadar rosak akibat usia bangunan.
Namun, sebaik diperiksa, Mazlan terkejut besar apabila mendapati runtuhan itu berpunca daripada kehadiran seekor ular sawa yang jatuh bersama serpihan siling.
Pesara berkenaan sekali lagi dikejutkan dengan bunyi runtuhan kedua. Ketika bergegas ke bilik berkenaan, dia terperanjat apabila mendapati seekor ular sawa sepanjang kira-kira 10 meter atas katil, bersama sisa runtuhan siling yang berselerakan.
“Kebelakangan ini memang terdapat bunyi di atas bumbung, saya ingat tikus atau anak musang yang berlari pada waktu malam dan hari ini kami sekeluarga dikejutkan dengan kehadiran ular yang sangat besar dari siling bumbung rumah.
“Kami segera buat panggilan 999 untuk minta bantuan sebelum pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) datang mengeluarkan ular berkenaan dari rumah,” katanya.