UKM lancar pensijilan profesional keselamatan siber, AI di Qatar

Foto Universiti Kebangsaan Malaysia – UKM

KUALA LUMPUR: Agenda pengantarabangsaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus diperkukuh apabila institusi itu melancarkan program pensijilan profesional dalam bidang keselamatan siber dan AI Quantum dengan kerjasama BlackBerry serta QuantumX Solutions GmbH, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, UKM memaklumkan, pelancaran program yang diadakan di Lusail, Qatar, itu adalah sebahagian daripada hala tuju strategik pembangunan UKM-Qatar.

Menurut kenyataan itu, program berkenaan mencerminkan peranan UKM-Qatar sebagai platform pendidikan profesional bertaraf antarabangsa, di samping memperluas impak universiti dalam pembangunan bakat keselamatan siber serta keupayaan cyber resilience (kebingkasan siber) yang mampan pada peringkat global.

“Program profesional ini hasil kerjasama strategik antara UKM, BlackBerry dan QuantumX Solutions GmbH susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 4 November lalu.

“Kerjasama itu memfokuskan pembangunan kepakaran keselamatan siber dan penggunaan AI (kecerdasan buatan), pengurusan risiko digital serta keupayaan kebingkasan siber yang semakin kritikal dalam landskap teknologi global,” menurut kenyataan itu.

Sebagai pelengkap, ketiga-tiga pihak turut menganjurkan dua bengkel kebingkasan siber sebagai platform perkongsian kepakaran antara akademia dan industri, yang dihadiri lebih 50 peserta dari universiti serta sektor industri di Doha.

Bengkel itu memberikan pendedahan langsung kepada peserta sektor awam dan swasta mengenai cabaran keselamatan sistem, perlindungan infrastruktur digital serta keperluan teknikal berimpak tinggi dalam persekitaran operasi sebenar, termasuk penggunaan prompt AI secara pantas dan selamat.

Majlis pelancaran ini turut dihadiri Naib Canselor UKM, Prof Datuk’ Dr Sufian Jusoh; Presiden UKM–Qatar, Prof Datuk Dr Mahmoud Khalid Al Msafir dan Pengarah UKM-Shape, Prof Madya Dr Lokhman Hakim Osman.