UKM jadi institusi pemikir Asean

Foto X UKM

KUALA LUMPUR: Bagi memperkukuh peranan sebagai institusi pemikir serantau, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Economic Research Institute for Asean and East Asia (ERIA).

ERIA adalah badan antara kerajaan yang berpangkalan di Jakarta dan dianggotai oleh 16 negara di rantau ini.

Menurut Naib Canselor UKM, Prof Sufian Jusoh, kerjasama itu bertujuan memperkukuh hubungan strategik di antara UKM dan ERIA dalam membentuk dasar-dasar ekonomi, perdagangan dan pelaburan di bawah rangka kerja Asean 2025 dan Asean Vision 2045.

“MoU ini akan mengeratkan lagi hubungan UKM dengan ERIA sebagai badan antarabangsa di bawah Asean.
.
“Kami bekerjasama rapat dalam menyiapkan beberapa priority economic deliverables bagi pihak kerajaan Malaysia dan Asean, termasuk Asean Framework for Integrated Semiconductor Supply Chain yang telah diluluskan Menteri-Menteri Ekonomi Asean baru-baru ini, serta pembangunan Asean EV Battery Passport,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU bersama Presiden ERIA Tetsuya Watanabe di Kuala Lumpur semalam.

Katanya, melalui kerjasama itu, penyelidik UKM turut memainkan peranan penting dalam menyokong inisiatif Asean Zero Emission Community (ASEC) dan agenda ekonomi hijau serta digital, termasuk kajian berkaitan teknologi solar, tenaga hidrogen dan inovasi semikonduktor.

“Antara kelebihan utama MoU ini ialah penyelidik UKM dapat menggunakan rangkaian ERIA di 16 negara. Baru-baru ini, kami berpeluang ke Jepun, Itali dan Switzerland untuk meninjau teknologi kuantum, semikonduktor serta pembangunan start-up di universiti antarabangsa.

“Melalui jaringan ini, kita dapat membangunkan kepakaran tenaga baharu, ESG, serta ekonomi digital untuk diterapkan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara-negara ASEAN lain,” jelasnya.

Sufian berkata, ia juga akan membuka peluang kepada penyelidik dan pelajar UKM untuk menyertai program penyelidikan antarabangsa, selain melatih pegawai-pegawai Asean termasuk dari Timor-Leste, bagi memperkukuh keupayaan mereka melaksanakan dasar serantau yang telah ditetapkan.