
PUTRAJAYA – Orang ramai, khususnya warga emas, diingatkan supaya tidak terpedaya dengan pihak yang mengenakan bayaran atau menawarkan pendaftaran program Ubat Melalui Pos (UMP) menerusi saluran tidak rasmi, susulan pelaksanaan penghantaran ubat secara percuma bermula 1 Oktober ini. Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan pendaftaran program itu hanya boleh dibuat di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tiada sebarang bayaran dikenakan.
“Ubat Melalui Pos ini pendaftarannya (melalui) fasiliti KKM. Bukan melalui mana-mana akaun TikTok atau Facebook. Tidak ada proses pendaftaran selain melalui KKM itu sendiri,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Pembiayaan Inisiatif UMP di sini hari ini. Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Fahmi berkata pesakit berdaftar tidak lagi perlu menanggung caj penghantaran kerana kos tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Peruntukan awal RM5 juta telah diteliti bagi pelaksanaan inisiatif itu, namun jumlah berkenaan akan ditambah bagi memastikan semua negeri menikmati manfaatnya. “Sebelum ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ada memaklumkan berdasarkan perbincangan dengan KKM, ada beberapa negeri yang telah memohon untuk tidak terlibat dalam program ini. Tapi atas faktor keprihatinan dan juga semangat Malaysia MADANI, maka kita telah membuat keputusan untuk menyediakan bajet tambahan untuk pastikan semua negeri mendapat manfaat UMP,” katanya. Kira-kira 87,000 pesakit berdaftar di seluruh negara dijangka mendapat manfaat dalam tempoh setahun.
Program UMP yang dilaksanakan sejak 2011 sebelum ini mengenakan kos penghantaran RM5.70 di Semenanjung serta RM12.50 di Sabah dan Sarawak. Fahmi berkata inisiatif itu merupakan satu lagi bentuk kerjasama Kementerian Komunikasi dalam membantu KKM selepas pelaksanaan Program Peningkatan Kesalinghubungan Internet di Fasiliti Kesihatan (PERSADA), yang menyediakan peruntukan sehingga RM1 bilion bagi meningkatkan akses Internet di semua 150 hospital kerajaan serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam di seluruh negara.
Sumber : Bernama