
Bermula dengan modal RM60,000 dari wang simpanan KWSP, Mohd Zahir Jahaya memberanikan diri untuk memulakan perniagaan yang jarang disertai oleh Bumiputera.
Berasaskan keberanian itu dan dengan menambah pelbagai ilmu berkaitan bidang yang diceburinya, pengarah dan pengasas JGE Empire Group Sdn Bhd itu sudah menempa nama sebagai saudagar tayar tersohor di seluruh negara.
“Faktor yang mendorong saya menyertai bidang ini ialah keinginan untuk memecahkan monopoli dan membawa pendekatan baru ke dalam industri itu,” katanya.
Mohd Zahir memulakan operasi pada tahun 2015 secara kecil-kecilan dan kini mempunyai 20 pekerja dan memberikan khidmat tukar tayar, jual tayar dan servis tayar di seluruh negara. Mohd Zahir juga mengembangkan perniagaannya dengan tiga cawangan di Sungai Buloh, Behrang dan Gopeng.
Mohd Zahir juga mempunyai gudang yang diberi nama Tyreman dan sudah ada jenama sendiri yang dipanggil Juara Thread.