
Wang ringgit penting tetapi ia bukan perkara utama yang diterapkan oleh TYMBA Education Group, kata pengasas da Ketua Pegawai Eksekutifnya, Airil Razali.
Menurutnya, apa yang lebih penting bagi syarikat perakaunan itu adalah nilai dan ilmu yang diberikan bagi membantu seramai mungkin pelajar.
“Itu penting bagi kita kerana mereka yang kita bantu akan berdoa untuk kita. Untuk menjalankan institut pendidikan, kita tidak boleh tamak dan memikirkan keuntungan semata-mata,” katanya.
Airil berpendapat kekayaan itu adalah ilmu dan untuk mengubah hidup mesti ada ilmu.
Bermula dengan mengajar secara kecil-kecilan di rumahnya, kemudian berpindah ke rumah tuisyen, TYMBA Education Group kini sudah menjalankan perniagaan di bangunan tujuh tingkat.
Katanya, untuk berjaya kita perlu sabar, tabah dan terus berjuang dengan bantuan rakan-rakan kerja yang sentiasa menyokong dalam banyak hal.
“Tidak berjaya bukan bererti gagal tapi ia adalah kejayaan yang terlewat,” katanya memetik peribahasa Cina.
Program pendidikan TYMBA adalah bersifat global dan kini sudah meneroka peluang di Brunei, Indonesia, Myanmar dan Kemboja.