TVET Bukan Pilihan Kedua Laluan Jana Kekayaan Generasi Muda

Foto Bernama TV / Datuk Dr Khairul Azmi Mohamad

KUALA LUMPUR: Paradigma masyarakat terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu berubah drastik daripada dianggap ‘pilihan kelas kedua’ kepada pemacu utama ekonomi negara. Setiausaha 1 2026 Datuk Dr Khairul Azmi Mohamad menegaskan bidang kemahiran tinggi ini sebenarnya menawarkan pendapatan lumayan dan mampu menjadi sumber kekayaan baharu bagi generasi muda, dan perlu diperkasa setaraf dengan pengajian akademik bagi memastikan ia kekal relevan sebagai tunjang kekuatan profesional negara.

Dr Khairul Azmi menjelaskan penguasaan TVET pada tahap tertinggi bukan lagi sekadar pekerjaan buruh kasar, sebaliknya melibatkan kepakaran teknikal kritikal yang menjadi tunjang negara-negara maju. Realiti pasaran kerja hari ini membuktikan individu dengan sijil kemahiran tinggi sering menjadi rebutan industri dengan tawaran gaji yang jauh lebih kompetitif, sekali gus membuktikan transformasi minda terhadap TVET amat mendesak bagi memastikan modal insan tempatan tidak ketinggalan.

Pemerkasaan agenda pendidikan TVET ini bakal menjadi antara topik utama pada Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 1 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Kongres yang turut diadakan sempena ulang tahun UMNO ke-80 itu bertujuan menilai semula dasar sedia ada bagi memastikan kelangsungan masa depan bumiputera dalam sektor ekonomi negara.

Fokus utama kongres adalah merangka strategi baharu yang lebih agresif dalam memartabatkan pendidikan teknikal sebagai landasan mobiliti sosial yang berkesan bagi anak muda bumiputera. Penganjuran ini mencerminkan kesedaran kolektif bahawa TVET bukan sekadar alternatif akademik, malah laluan strategik yang mampu melahirkan generasi profesional teknikal bertaraf dunia.