
KOTA KINABALU: Kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bermula semalam di seluruh negeri, menjelang hari pengundian pada 29 November.
Sejurus proses penamaan calon berakhir di 25 pusat bagi semua 73 kerusi dipertandingkan, calon terus memulakan tempoh kempen dua minggu mereka — sama ada melalui media sosial, bertemu pengundi di jalanan dan pasar, tinjauan mesra, kunjungan dari rumah ke rumah, ceramah umum, jelajah pulau, serta meredah laluan sukar ke kawasan terpencil dan penempatan pedalaman.
Cabaran pertama calon adalah memastikan mereka dapat mencapai pengundi di semua 73 kawasan DUN, satu ujian besar sebelum mereka dapat menyampaikan tawaran masing-masing.
Calon mampu meraih undi sekiranya dapat meyakinkan rakyat mengenai penyelesaian kepada pelbagai isu sosioekonomi yang dekat di hati pengundi, sambil kekal membawa agenda utama pilihan raya, iaitu tuntutan 40 peratus hasil negeri.
Isu sosioekonomi, kenaikan harga barang, kos sara hidup, keselamatan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, serta memperincikan langkah respons dan inisiatif, Pendidikan, kos penerbangan dan pengangkutan tetap dibincang.
Namun akhirnya, tuntutan mengenai hak hasil 40 peratus sebagai hak perlembagaan Sabah, bukan geran mahupun bantuan persekutuan, akan menjadi perkara paling dituntut.