Tun Hakim Cipta Sejarah

Tun Hakim mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama menang di PBA Tour. Credit Professional Bowler Association

Tun Ameerul Luqman al-Hakim Tun Hasnul Azam mencatat sejarah sebagai pemain boling negara pertama memenangi kejuaraan Jelajah Profesional Bowlers Association (PBA) di Amerika Syarikat.

Tun Hakim melakar sejarah itu apabila mengalahkan wakil Amerika Syarikat, Kevin McCune 269-227 dalam saingan akhir stepladder di National Stadium Reno, Nevada.

Dalam rakaman video di laman Facebook PBA, Tun Hakim yang berusia 25 tahun itu menganggap kemenangannya bersejarah dan menakjubkan.

“Ini gelaran pertama saya di PBA dan ini untuk rakyat Malaysia, ayah, ibu dan isteri saya. Saya sayang anda semua dan terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Tun Hakim bermula dengan baik apabila mengatasi pemain AS Boog Krol 237-226, 216-247, 268-267, 279-187 dan meneruskan momentum cemerlangnya menewaskan juara 12 kali PBA dari Sweden Jesper Svensson 145-214, 245-228, 254-215.

Dengan kemenangan itu, Tun Hakim membawa pulang AS$20,00 (RM88,618) dan trofi.