Tulis Masa Depan Dengan “Dakwat Asia”: Anwar

Foto PMO

TIANJIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelbagai penyusunan semula ekonomi global oleh Barat memberi petunjuk bahawa masa depan juga mesti ditulis dengan ‘dakwat Asia’.

Beliau berkata, terdapat pelbagai bentuk aliran ekonomi seperti penubuhan sistem monetari antarabangsa baharu selepas Perang Dunia Kedua dan pengakhiran piawaian emas pada 1971.

Terbaru, kata beliau, adalah langkah pentadbiran Amerika Syarikat (AS) melaksana tarif timbal balik yang disifatkan sebagai ‘persenjataan perdagangan’.

“Setiap penyusunan semula ini ditulis jauh dari ‘pantai’ kami. Asia hadir, tetapi ia bukan pengarangnya.

“Hari ini, kami bertanggungjawab memastikan bab seterusnya ditulis dengan bahasa Asia, dakwatnya juga,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Sovereign Interdependence: Building a Shared Future in Asia’, di Universiti Tianjin di sini, semalam.

Anwar berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan pemecahan perdagangan teruk dan penyahgandingan teknologi boleh menyebabkan beberapa negara berdepan kerugian sehingga 12 peratus daripada pendapatan mereka.