
KUALA LUMPUR: Hantaran di media sosial berunsur hasutan, ugutan, penghinaan dan kenyataan yang menimbulkan kegentaran serta fitnah menyebabkan tujuh individu ditahan polis untuk siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, berkata semua tangkapan dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 JSJ Bukit Aman.
Tujuh kes penularan video itu adalah di aplikasi TikTok dan Facebook antara 17 September lalu hingga semalam.
Menurutnya, kes pertama membabitkan seorang lelaki tempatan menggunakan akaun TikTok @zollpatv dengan membuat komen berbaur hasutan serta penghinaan terhadap kerajaan dan pemimpin negara.
“Kes kedua pula membabitkan seorang lelaki tempatan menggunakan akaun TikTok @saya_alif5 dengan memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap pemimpin negara serta kenyataan yang mengaibkan.
“Kes ketiga membabitkan seorang lelaki tempatan menggunakan akaun TikTok @japajafaruddinshop dengan memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap pemimpin negara berkaitan isu subsidi minyak serta kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam,” katanya.
Kes keempat membabitkan seorang lelaki tempatan menggunakan akaun TikTok @HonaKia53 dengan memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap pemimpin negara serta kenyataan yang mengaibkan.
“Kes kelima pula membabitkan seorang lelaki tempatan menggunakan akaun TikTok @k_a_m_i_l_2905 dengan memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap pemimpin negara serta kenyataan yang mengaibkan.
“Kes keenam membabitkan seorang lelaki tempatan menggunakan akaun TikTok @tokgompo yang memuat naik hantaran berunsur ugutan terhadap pemimpin negara, manakala kes ketujuh, seorang lelaki tempatan menggunakan akaun Facebook ‘Vincent Naidu’ dengan memuat naik hantaran berunsur hasutan serta kenyataan yang mengaibkan terhadap pihak tertentu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata tangkapan dibuat terhadap tujuh suspek berbeza yang disyaki terbabit dalam semua kes berkenaan dan mahkamah membenarkan tahanan reman antara satu hingga tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.
“Hasil semakan rekod mendapati seorang daripada suspek berusia 40-an mempunyai 19 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah, manakala seorang lagi suspek berusia 60-an pernah disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.