
Kerajaan perlu menggerakkan satu program di sekolah untuk mengatasi kelemahan ekosistem pembangunan badminton negara.
Saranan itu dicetuskan oleh mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail kepada Channel10 dalam satu temubual bersama mantan pemain nombor satu dunia Roslin Hashim dan hos Abu Bakar Atan.
“Ekosistem pembangunan badminton di sekolah kena dikuatkan jika kita mahu sukan itu maju seperti dulu. Kita boleh wujudkan akademi seperti akademi bolasepak,” katanya.
Menurutnya, bilangan pemain yang bagus tidak ramai dan pemain harus bersikap terbuka dan bekerjasama dengan Persatuan Badminton Malaysia.
Mengenai kenapa tidak ramai pemain Melayu mewakili negara, beliau dan Roslin sependapat kewujudan kelab badminton dan persatuan negeri juga menjadi penyebabnya.
“Persatuan badminton negeri ada jurulatih tapi tak ada program. Latihan tiada, hanya sparring. Di kelab pula banyak kelebihan tapi ada bayaran. Ramai anak Melayu tak mampu,” kata mereka.
Datuk Ahmad Shapawi juga menekankan perihal perlunya fokus terhadap proses persiapan terutama bagi kejohanan berprestij.
“Jurulatih perlu tahu hal ini. Jangan biar pemain capai kemuncak pada waktu salah. Proses pemulihan juga penting diutamakan. Sepatutnya tidak ada masalah kerana Persatuan Badminton Malaysia lengkap dengan proses pemulihan,” katanya.
Menurutnya, pemain perseorangan Lee Zi Jia mungkin tidak melalui proses pemulihan.
“Pemain kena jujur,” katanya.