Trump puji peranan Malaysia damaikan Thai-Kemboja

Foto PMO

KUALA LUMPUR: Peranan Malaysia dalam memudahkan rundingan gencatan senjata di antara Thailand dan Kemboja mendapat pujian Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Beliau mengiktiraf diplomasi aktif Malaysia dalam membantu menguruskan gencatan senjata itu dan kerana itulah beliau memutuskan untuk memasukkan Malaysia dalam lawatan serantau.

“Saya memberitahu pemimpin Malaysia (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang merupakan seorang yang sangat baik, saya berkata, ‘Saya rasa saya wajar membuat lawatan ke sini,’ dan sebab itulah kami singgah di Malaysia.

“Malaysia memainkan peranan yang sangat besar (dalam gencatan senjata Thailand-Kemboja),” katanya kepada pemberita di dalam pesawat rasminya, Air Force One, sejurus berlepas dari Washington sempena Sidang Kemuncak Aseaan ke-47.

Pesawat Air Force One yang membawa Trump dan delegasinya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 pagi ini, dan beliau akan disambut oleh Anwar di Kompleks Bunga Raya.

Satu perisytiharan bersama mengenai gencatan senjata dijangka ditandatangani hari ini di antara Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet di luar Sidang Kemuncak Asean ke-47.