Trump halau warga Malaysia/Tawar imbuhan AS$1,000

Foto Reuters

Rakyat Malaysia dan negara asing yang tinggal secara haram di Amerika Syarikat ditawarkan AS$1,000 (RM4,268) untuk meninggalkan negara itu menerusi satu program amnesti.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Amerika Syarikat baru-baru ini melancarkan program penghantaran pulang secara sukarela itu melalui aplikasi CBP One milik agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP).

Kerajaan Trump menawarkan bantuan kewangan dan dokumen perjalanan kepada mereka yang menetap secara haram di negara itu bagi memudahkan urusan pulang ke negara asal.

Amerika Syarikat juga akan membantu dalam tempahan tiket dan mendapatkan dokumen perjalanan yang diperlukan.

Mereka yang tidak mengambil peluang tawaran itu, jika ditahan oleh pihak berkuasa AS, akan dihantar pulang secara paksa dan hilang hak untuk kembali ke negara itu. Awal Februari lalu, 435 rakyat Malaysia telah menerima notis akhir penghantaran pulang.