
KOTA KINABALU: Langkah menangani kes buli di sekolah melalui proses sivil yang lebih cepat dan berkesan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Reformasi Institusi dan Undang-Undang) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Kertas cadangan Tribunal Antibuli itu akan mempunyai kuasa separa kehakiman untuk menyelesaikan kes buli dalam tempoh 6090 hari, tanpa mengganggu mekanisme tatatertib sedia ada; kes jenayah kekal di bawah polis dan mahkamah, katanya.
Azalina menekankan pendekatan mendidik dan memulihkan selaras Akta Kanak-Kanak 2001, serta menggalakkan rakyat menyertai tinjauan awam mengenai RUU Antibuli 2025 di portal PetaRI.
Menurutnya, selepas Kabinet bersetuju dengan rangka dasar berkenaan, langkah seterusnya ialah membentangkan rang undang-undang yang kini hampir siap.
“Terlebih dahulu, kita perlu membentangkan dasar umum melalui sesi libat urus awam, dengan bantuan beberapa kementerian untuk menilai maklum balas dan pandangan diterima.
“Sebaik sahaja Kabinet meluluskan dasar itu, kita akan berhubung dengan beberapa Ahli Parlimen untuk meneruskan perbincangan dan mendapatkan pandangan mereka. Ini merupakan satu bentuk libat urus awam secara tidak langsung,” katanya.
“Kita ingin jelaskan bahawa tribunal ini mempunyai kuasa separa kehakiman. Matlamatnya ialah untuk memastikan sistem institusi berfungsi secara bebas dan undang-undang ini tidak akan mengganggu mekanisme tatatertib sedia ada di pelbagai institusi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tribunal berkenaan hanya akan mengendalikan kes-kes sivil, manakala kes buli yang melibatkan unsur jenayah akan terus berada di bawah bidang kuasa polis dan mahkamah jenayah.