
JOHOR BAHRU: Sesudah selesai menjalani proses pemeriksaan sepenuhnya, trak bantuan Tabung Kasih Johor-Palestin di Rafah sedang menunggu giliran untuk melintasi sempadan bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.
Trak bantuan Tabung Kasih Johor-Palestin itu membawa bantuan disalurkan rakyat Johor untuk Palestin sempena Ramadan demi memastikan bekalan makanan untuk mereka mencukupi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata: “Alhamdulillah, bantuan kita sedang bergerak menuju ke penempatan saudara-saudara kita terutamanya umat Islam yang sedang berpuasa di Palestin.
“Maka, berbahagialah kita umat Islam di Johor kerana sumbangan yang kita salurkan akan memberi saudara-saudara kita di Palestin juadah untuk berbuka puasa,” katanya menerusi kenyataan.
Selain bekalan makanan, bantuan disalurkan turut meliputi peralatan musim sejuk seperti selimut dan keperluan kesihatan untuk kanak-kanak serta wanita.
Menurut Mohd Faried, sejumlah RM2.5 juta diperuntukkan kerajaan negeri melalui Tabung Kasih Johor-Palestin bagi misi yang masuk siri ketiga ini.
“Semoga segala urusan dipermudahkan dan bantuan ini sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Terima kasih kepada semua penyumbang yang bersama menjayakan misi kemanusiaan ini.
“Semoga Allah memberkati usaha kecil kita ini dalam meringankan penderitaan rakyat Palestin terutamanya pada bulan Ramadan yang tiba ketika keadaan di sana masih musim sejuk,” katanya