
KUALA LUMPUR: Kedudukan sebagai tokoh agama tidak boleh digunakan untuk menimbulkan permasalahan dan memecah-belahkan masyarakat berbilang bangsa di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, tindakan seperti itu hanya mencetuskan polemik serta merosakkan keharmonian dan usaha membangunkan negara.
Beliauberkata, meskipun Islam agama rasmi di Malaysia namun beliau tetap memberi jaminan hak serta kebebasan beragama kepada kaum lain seperti yang dipersetujui dalam kerangka Perlembagaan.
“Malaysia ini Islam adalah agama Persekutuan. Majoriti rakyatnya beragama Islam. Tetapi kita terima hak semua kaum dan semua agama dan kita setuju ikrar untuk jamin masa depan dengan aman, bersama semua kaum dan hak semua agama.
“Baru boleh aman. Jadi bagi saya majoriti termasuk pemimpin-pemimpin agama itu perlu mengambil sikap positif,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan, di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini semalam.
Mengulas mengenai peluncuran program yang dijalinkan bersama Kementerian Belia dan Sukan serta Hal Ehwal Agama itu, Anwar berkata beliau senang melihat tokoh muda di kedua-dua kementerian itu hanya memberi fokus kepada masa depan negara.