Tok Mat Sedia Letak Jawatan Kabinet Jika Diarah PM Anwar

Foto fFM

REMBAU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan beliau tidak keberatan melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya menerima arahan daripada Perdana Menteri. “Saya tak keberatan letak jawatan jika diarah PM,” kata Menteri Luar itu, sambil menambah pelantikan menteri dan timbalan menteri sepenuhnya terletak pada budi bicara Perdana Menteri.

Kenyataan itu dibuat bagi mengulas amaran Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ipoh hari ini, yang menggesa mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Perpaduan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Mohamad turut menafikan wujud sebarang usaha memburukkan Kerajaan Perpaduan dalam kalangan pemimpin BN sepanjang tempoh berkempen setakat ini. “Kita tak ada memburuk-burukkan, tak sentuh peribadi. Dalam kempen, kita nak pastikan mesej kita sampai kepada semua pengundi,” katanya.

Beliau yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada PRN kali ini menyifatkan kenyataan politik sebagai perkara biasa dalam musim pilihan raya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak terburu-buru membuat andaian. “Jangan cepat sangat meloncat-loncat,” katanya.