TNB Tegaskan Komitmen Malaysia Capai Pelepasan Sifar Bersih 2050

Foto Bernama

OSAKA, JEPUN: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menegaskan komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 di samping menekankan peranannya dalam memajukan integrasi tenaga Asean ketika berlangsungnya Minggu Tenaga di Pavilion Malaysia pada acara dunia, Expo 2025 Osaka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata penyertaan TNB dari 8 hingga 12 September ini menumpukan kepada dua keutamaan iaitu berkongsi usaha Malaysia ke arah sifar bersih, dengan peranan utama dilaksanakan oleh TNB, serta berinteraksi dengan rakan yang berpotensi bagi jalinan kerjasama.

Beliau berkata, kehadiran TNB di Expo 2025 Osaka bertujuan mengetengahkan usaha peralihan tenaga Malaysia di samping meletakkan negara sebagai hab infrastruktur dan perdagangan tenaga di ASEAN.

“Malaysia berada pada kedudukan penting untuk memacu peralihan tenaga bagi Asean dan satu kelebihan yang kita miliki adalah lokasi geografi kita yang terletak di tengah-tengah rantau ini. Dari sudut tenaga, infrastruktur dan kesambungan masih diperlukan.

“Oleh itu, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk melaksanakan peranan sebagai hab fizikal. Pada masa sama, kita juga sedang berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perdagangan dan komersial. Kedudukan yang kita usaha dan tonjolkan di sini adalah sebagai hab infrastruktur dan hab perdagangan tenaga,” katanya.