TNB Menang 3 Anugerah Enlit Asia

Foto FB Tenaga Nasional

KUALA LUMPUR: Kejayaan Tenaga Nasional Bhd (TNB) meraih tiga anugerah ketika persidangan dan pameran antarabangsa berprestij Enlit Asia 2025 di Bangkok baru-baru ini, membuktikan penerajuan inovasi dan kemampanannya dalam sektor kuasa dan tenaga.

Daripada tiga anugerah itu, dua adalah pengiktirafan terhadap projek Penyenggaraan Prediktif AI Kabel 11kV dan satu lagi bagi projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Pulau Tenaga Hijau (PTH), yang membekalkan kuasa ke pulau terpencil yang tidak mempunyai sambungan ke grid elektrik utama.

Pengiktirafan ini sudah pastinya meningkatkan kedudukan TNB sebagai syarikat utiliti dinamik yang aktif memacu peralihan tenaga sejajar dengan trend penyahkarbonan global.

Projek PTH yang terletak di Pulau Perhentian dan Pulau Redang di Terengganu dipilih sebagai pemenang utama bagi kategori Projek Penyimpanan Tenaga.

Projek itu, yang menampilkan penggunaan sumber tenaga bersih dan boleh baharu, membolehkan penyimpanan tenaga yang lebih cekap sambil menyokong sistem tenaga rendah karbon di kawasan pulau.

Ia sekali gus mencerminkan komitmen TNB untuk memacu transformasi tenaga melalui teknologi digital dan mampan.

Menjelang 2027, campuran penjanaan tenaga untuk Pulau Perhentian dan Pulau Redang diunjurkan terdiri daripada 22 peratus sumber boleh baharu, dengan baki 78 peratus daripada gas asli cecair (LNG).

Pada masa ini, kedua-dua pulau itu bergantung kepada penjana diesel.