
KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Berhad (TM) menjalin kerjasama strategik dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menerusi perjanjian hak penamaan selama tiga tahun membabitkan dua venue sukan utama negara iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra Bukit Jalil.
Melalui kerjasama itu, kedua-dua venue berkenaan dijenamakan semula sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena, sekaligus memperkukuh usaha mengekalkan kemudahan sukan negara pada tahap terbaik.
Langkah itu melambangkan komitmen Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam menyokong pembangunan dan memperkukuh ekosistem sukan Malaysia.
Sebagai syarikat telekomunikasi dan teknologi negara, TM melihat kerjasama itu sebagai langkah penting dalam menyokong pembangunan ekosistem sukan termasuk memperkukuh infrastruktur, meningkatkan pengalaman pengunjung serta membantu penganjuran acara berskala besar di venue nasional.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata syarikat itu berbesar hati diberi kepercayaan memegang hak penamaan bagi dua venue bersejarah berkenaan.