
KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) menyatakan pihaknya akan terus memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berhubung kes melibatkan bekas pekerja anak syarikatnya, TM USA Inc. TM mendedahkan siasatan dalaman telah dijalankan selepas mengesyaki wujud salah laku oleh individu terbabit, yang membawa kepada pemecatan mereka sebelum maklumat siasatan dikongsi dengan pihak berkuasa berkaitan.
Tiga bekas pegawai kanan TM USA Inc iaitu Mohd Hafiz Lockman, Mohd Yuzaimi Yusof dan Khanh Thuong Nguyen dihadapkan ke mahkamah AS atas tuduhan menyeleweng lebih AS$20 juta daripada syarikat telekomunikasi milik Malaysia itu. Menurut DOJ, mereka didakwa menggunakan kenyataan palsu dan rekod dipalsukan untuk menyalurkan dana syarikat secara haram serta memperdaya rakan niaga, pembekal, juruaudit dan penyelia di AS dalam pelbagai kejadian antara Julai 2020 hingga Februari 2026.
TM menegaskan syarikat mematuhi standard tadbir urus dan pematuhan yang ketat serta tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku. Kes ini kini sepenuhnya berada di bawah bidang kuasa DOJ dan mahkamah AS untuk tindakan lanjut.