Titik Banjir Kilat Kuala Lumpur Bakal Berkurangan

Foto : Harian Metro

PUTRAJAYA — Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menyasarkan pengurangan lokasi hotspot banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur daripada 14 kepada 10 kawasan pada tahun ini, menerusi pelaksanaan pelbagai langkah mitigasi. Ketua Pengarah JWP Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata sasaran itu dijangka tercapai melalui mitigasi berkesan termasuk kerjasama pelbagai agensi, terutamanya Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau berkata antara langkah yang sedang dilaksanakan bagi menangani banjir kilat ialah kerja pengorekan sungai dan penyediaan kolam takungan dalam tapak bagi membolehkan aliran air terus masuk ke kolam berkenaan. “Pada masa ini, di Kuala Lumpur terdapat 14 hotspot yang sering berlaku banjir kilat yang telah berjaya dikurangkan. Insya-Allah kita menyasarkan ia dapat dikurangkan lagi kepada 10 lokasi dengan kerjasama agensi berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan hari pengurusan risiko bencana peringkat Wilayah Persekutuan sempena bulan kesiapsiagaan nasional di sini hari ini.

Sebelum ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti 14 hotspot banjir di sekitar ibu negara yang akan diberi tumpuan menerusi pelbagai langkah mitigasi. Antara kawasan terlibat ialah Jalan Sultan Azlan Shah, Lebuhraya Sultan Iskandar, Bulatan Datuk Onn dan Jalan Tun Sambanthan.

Sementara itu, Muhammad Azmi berkata tahap kesiapsiagaan JWP serta agensi berkaitan di tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) berada pada tahap tinggi. Beliau berkata kesemua sistem siren banjir dan kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh Wilayah Persekutuan berfungsi dengan baik. “Tahap kesediaan siren dan peralatan yang memberi maklumat kepada masyarakat, Insya-Allah dalam keadaan yang baik,” katanya.

Sumber : Bernama