Titah Addendum: Hormati Keputusan Mahkamah

Foto Bernama

PUTRAJAYA: Prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa susulan penghakiman berhubung isu Titah Adendum membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang diputuskan semalam menjadi pegangan teguh kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar.

“Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang dibuat hakim,” katanya.

Anwar berkata, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang dibuat oleh hakim.

Jelasnya, ia termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada.

“Saya menyeru semua pihak supaya menangani isu ini dengan penuh sabar dan bijaksana.

“Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini,” katanya.