Tingkat Penguasaan Bahasa Inggeris: Anwar

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memperhebat usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, penguasaan bahasa Inggeris amat penting bagi daya saing masa depan Malaysia dan tidak boleh dipandang ringan.

“Kita perlu terima hakikat bahawa tahap penguasaan bahasa Inggeris adalah sangat penting. Ini bermakna KPM perlu menggiatkan usaha untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Emas ke-50 Kumpulan AmBank di sini semalam.

Pada masa sama, Anwar menegaskan bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan dan mesti dipertahankan sebagai ejen penyatuan.

“Saya tidak boleh menerima rakyat Malaysia yang tidak mahir dalam bahasa kebangsaan. Ia adalah bahasa kita dan kita mesti menguasainya dengan baik,” katanya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menekankan kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara bergantung kepada dasar inklusif yang merangkul semua masyarakat tanpa mengira kaum atau latar belakang.