Tinggalkan Mentaliti Kolonial: Anwar

FOTO BERNAMA

ADDIS ABABA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru anak muda Malaysia dan Afrika supaya membebaskan diri daripada sisa mentaliti kolonial yang masih membelenggu cara berfikir masyarakat pasca-penjajahan.

Berucap di Afro-Malaysia Youth Forum di Ethiopia, Anwar menegaskan bahawa masa depan bangsa dan negara mesti dibina atas kekuatan sendiri tanpa bergantung kepada kuasa luar.

“Anak muda mesti berfikir, berbincang dan membuat keputusan sendiri dalam membentuk masa depan Asia dan Afrika,” katanya.

Menurutnya, walaupun puluhan tahun telah berlalu sejak berakhirnya penjajahan, kesannya masih wujud dalam budaya dan politik semasa.

Justeru, tambahnya, generasi muda perlu tampil sebagai arkitek pembangunan ekonomi dan sosial yang lebih adil serta progresif.

Forum itu menghimpunkan pemimpin belia dari kedua-dua rantau bagi memperkukuh kerjasama Afro-Malaysia berasaskan semangat kebebasan, keadilan dan pembangunan bersama.