
KUALA LUMPUR: Dari Pasir Putih, Kelantan, tiga beradik perempuan nekad berhijrah ke Melbourne, Australia untuk bertani secara sambilan.
Dihimpit masalah kewangan, Tuan Nooraida Tuan Min, 40, membawa dua adik-beradiknya, Tuan Nadhirah, 30, dan Tuan Nurnasuha, 27, pada 2019 untuk bersama-sama mencari rezeki di negara berkenaan.
Menurutnya, setiap tahun, mereka melakukan sekurang-kurangnya empat kerja seperti memetik anggur, memetik sayur brokoli, pembungkusan epal selain menanam, memetik dan membungkus tomato.
“Kami kerja di sini ikut musim. Contohnya, Januari sehingga Mei kami melakukan kerja memetik anggur. Selepas itu memetik sayur brokoli kira-kira dua tiga bulan pula.
“Habis musim sayur, kami pindah kepada pembungkusan epal dan selepas itu terbabit dalam menanam, memetik serta membungkus tomato,” katanya.
Tuan Nooraida berkata, dia memperoleh kira-kira AUS$5,000 (RM13,740) sebulan melalui kerja sambilan sebagai petani di Melbourne. – Sumber Harian Metro