
PUTRAJAYA: Sebarang pelanggaran amanah, salah guna kuasa dan rasuah yang boleh mencalar imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan dikompromi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat yang baru, Jeneral Datuk Azhan Md. Othman, di sini semalam.
Menurutnya, kepercayaan awam terhadap ATM tidak boleh dibina melalui slogan semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh menerusi profesionalisme, akauntabiliti serta integriti yang tegas dan konsisten di setiap lapisan pentadbiran serta operasi.
“Dalam menghadapi cabaran semasa, termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah, pendirian kerajaan jelas iaitu tiada kompromi terhadap pelanggaran amanah, lantas menuntut ketelusan, kejujuran dan keberanian untuk membersihkan kelemahan demi memelihara maruah ATM,” katanya.
Katanya, kerajaan akan terus mendukung usaha Tentera Darat untuk kekal sebagai pasukan yang berwibawa, profesional dan disegani.
Beliau juga berkata kebajikan pegawai, anggota, keluarga serta veteran akan sentiasa diberi perhatian sewajarnya.